KUCHING, 28 Mei: Cadangan dan perancangan pelbagai projek pembangunan di kawasan Sadong Jaya bakal memberi impak besar dan bermakna kepada kesejahteraan penduduk di kawasan tersebut.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi yang diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Aidel Lariwoo.
“Antara isu yang dibicangkan dalam pertemuan tersebut termasuk mengenai cadangan pembangunan Galeri Warisan Sadong Jaya, pelaksanaan projek waterfront, iconic tower, bazaar komuniti, masjid, tanah perkuburan dan inisiatif lain yang berpotensi menjadi pemangkin pembangunan kawasan tersebut secara menyeluruh,” kata kenyataan itu.
Wan Junaidi berharap semua projek yang dirancang berjalan lancar dengan adanya kerjasama erat antara jabatan dan agensi yang terlibat dalam usaha menaik taraf kemudahan serta menambah nilai kepada pembangunan kawasan tersebut secara holistik.
Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak atas komitmen dan inisiatif menerusi projek-projek yang dicadangkan sekali gus memberi manfaat kepada rakyat Sarawak khususnya di kawasan Sadong Jaya. -TVS