KUCHING, 27 Mei: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan betapa pentingnya mempertahankan kuasa perundangan yang dimiliki Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak melalui Peruntukan 95(c) dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Beliau berkata, kuasa ini bukan sahaja sebagai simbol, tetapi adalah hak dan kuasa sebenar yang membolehkan Sarawak menggubal undang-undang demi kepentingan negeri.
Pada Majlis GPS Backbenchers Night ‘One For All, All for One (Sarawak First) di Dewan Undangan Negeri (DUN) malam ini, beliau mahu semua Ahli DUN supaya memahami dan menghayati peruntukan tersebut agar tidak mudah tergugat atau menggadaikan kuasa yang telah lama dimiliki negeri ini.
“Satu perkara yang saya minta daripada semua Ahli DUN ialah mengambil maklum peruntukan perlembagaan kita, khususnya Peruntukan 95(c)(a) dalam Perlembagaan Malaysia.
“Peruntukan itu memulihkan kuasa legislatif DUN Sarawak. Sejak hari pertama Sarawak menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia, DUN telah diberi kuasa oleh Perintah Agong untuk membuat undang-undang khusus bagi negeri ini,” jelas beliau.
Abang Johari menambah, undang-undang seperti Ordinan Pengagihan Gas 2016 (DGO) Sarawak tidak boleh dipertikaikan kerana ia dibuat berlandaskan Perlembagaan dan Peruntukan 95(c).
“Ordinan Pengagihan Gas Sarawak ini tidak boleh dipertikaikan kerana ia dibuat di bawah Perlembagaan Malaysia, peruntukan 95(c), yang memberi kita kuasa untuk membuat undang-undang.
“Kuasa ini diberikan kepada DUN dan kita tidak boleh menggadaikan kuasa ini. Kita mempunyai autoriti legislatif yang mesti dipertahankan,” tegas beliau.
Abang Johari turut menegaskan bahawa kuasa ini adalah aset berharga yang tidak boleh dikompromi demi memastikan Sarawak terus kekal berdaulat dan diberi hak yang sewajarnya dalam Persekutuan Malaysia.
Jelasnya, dengan adanya peruntukan undang-undang yang kukuh, Sarawak dapat menghadapi sebarang cabaran atau masalah yang timbul.
“Ini adalah cara kita untuk mitigasi setiap masalah yang timbul, dengan bergantung kepada peruntukan undang-undang,” ujar Abang Johari.
Dalam pada itu, Premier Sarawak memberi bayangan bahawa satu pengumuman penting berkaitan hala tuju negeri akan dibuat pada hari terakhir persidangan DUN esok.
“Tunggu pengumuman saya esok. Saya akan buat satu pengumuman penting untuk masa depan Sarawak,” katanya tanpa mengulas lanjut. – TVS