KUCHING, 27 Mei: Sejumlah 11,700 hektar tanah di seluruh negeri telah dikenal pasti untuk penanaman padi setakat Mei 2025, kata Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.
Kementerian itu katanya komited untuk meningkatkan pengeluaran padi melalui tiga strategi utama iaitu peluasan kawasan penanaman padi, penambahbaikan produktiviti, dan kerjasama dengan sektor swasta.
“Sebanyak lapan kawasan projek di atas tanah kerajaan seluas 2,000 hektar telah diluluskan oleh Pasukan Petugas Padi dan Beras Sarawak untuk pembangunan penanaman padi, meliputi bahagian Kuching, Serian, Sri Aman, Kapit, dan Limbang,” katanya.
Rundi mendedahkan setakat ini Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak sedang menyediakan dokumen bagi melaksanakan kajian Light Detection and Ranging (LiDAR) untuk mendapatkan data topografi, yang dijangka siap pada suku keempat 2025.
Sasaran kementerian adalah untuk memperluas kawasan ini kepada sekurang-kurangnya 3,300 hektar menjelang akhir 2025.
Selain itu, kementeriannya turut memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur di tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) sebagai sebahagian daripada strategi peluasan kawasan penanaman.
“Sebanyak 28 tapak berpotensi di atas tanah NCR telah dikenal pasti, melibatkan kawasan seluas 9,700 hektar, dalam tempoh enam bulan lepas,” jelas beliau
Bagaimanapun katanya pembangunan di tanah NCR memerlukan rundingan teliti serta penglibatan aktif komuniti tempatan. —TVS