KUCHING, 27 Mei: Orang ramai dari pelbagai lapisan masyarakat dijemput hadir memeriahkan Rumah Terbuka Gawai Dayak 2025 yang akan diadakan pada 1 Jun 2025 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK).
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata rumah terbuka itu merupakan inisiatif Jawatankuasa Gawai Dayak 2025 bagi meraikan perayaan tersebut dalam suasana muhibah dan perpaduan.
“Matlamat kami adalah untuk menjemput Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang juga akan hadir memeriahkan rumah terbuka pada 1 Jun nanti.
“Saya juga menjemput orang ramai serta media semua datang ke rumah terbuka ini,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak di pejabat beliau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Menurut Uggah, acara ini diadakan sebagai platform bagi menyatukan masyarakat berbilang kaum dan budaya di Sarawak, sekali gus memperkukuh nilai-nilai kebersamaan serta keharmonian yang menjadi teras kepada sambutan Gawai.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan jemputan rasmi kepada Premier Sarawak dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk menghadiri program ‘Niti Daun’ pada 21 Jun 2025, diikuti dengan majlis makan malam rasmi pada 2 Jun.
Uggah berharap agar sambutan Gawai tahun ini, termasuk rumah terbuka dan program-program lain yang dirancang, akan terus menjadi simbol perpaduan rakyat Sarawak serta memupuk semangat kebersamaan yang kukuh dalam kalangan semua kaum.—TVS