KUCHING, 27 Mei: Seramai 350 pegawai dan anggota polis trafikĀ akan ditugaskan sempena pelaksanaan Op Lancar di seluruh Sarawak sempena Hari Gawai Dayak bermula 30 Mei hingga 4 Jun 2025.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata berkata operasi selama enam hari itu bertujuan memastikan kelancaran aliran trafik serta mengurangkan kadar kemalangan jalan raya sepanjang tempoh perayaan.
āPenugasan melibatkan semua daerah dengan keutamaan di lokasi berisiko tinggi seperti jalan persekutuan, jalan negeri dan jalan bandaran yang sering berlaku kesesakan atau kemalangan,ā katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, tumpuan turut diberikan terhadap penguatkuasaan undang-undang terhadap pesalah trafik yang gagal mematuhi peraturan jalan raya.
Katanya, selain pemantauan dan kawalan trafik, kehadiran anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) juga bertujuan memastikan penyelarasan aliran trafik dilakukan dengan berkesan, terutama pada waktu puncak.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan memberi kerjasama kepada anggota penguat kuasa yang bertugas.
āTindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang. Utamakan keselamatan diri, keluarga serta ingat orang yang tersayang,ā katanya.
PDRM turut meminta orang ramai agar memaklumkan kepada balai polis berhampiran sekiranya meninggalkan rumah sepanjang musim perayaan bagi tujuan rondaan dan pemantauan keselamatan.
āDiharapkan Op Lancar kali ini dapat mencapai matlamat iaitu melancarkan pergerakan trafik dan mengurangkan insiden kemalangan jalan raya,ā katanya. – TVS