KUCHING, 27 Mei: Bagi peminat makanan tradisi Sarawak, terutama dari kawasan pesisir, keenakan ikan lumek salai goreng pasti tidak asing lagi, lebih-lebih lagi jika dinikmati dengan nasi panas.
Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, menu kampung yang ringkas ini turut menjadi antara makanan kegemaran Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menghargai nilai produk tempatan yang semakin mendapat tempat di hati ramai, Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Semop, tampil dengan kejutan istimewa di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Produk nelayan Pulau Bruit itu diserahkannya kepada Premier Sarawak dan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Pejabat Premier di DUN pada tengah hari ini.

Beliau membeli 200 kilogram ikan lumek salai khas dari Pulau Bruit untuk diedarkan kepada semua wakil rakyat dan ketua jabatan yang menghadiri Persidangan DUN Sarawak yang sedang berlangsung.
“Ini antara hasil laut tradisional terbaik dari kawasan saya dan saya rasa patut dikongsi dengan semua, termasuk Premier sendiri yang memang suka ikan lumek goreng,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di bangunan DUN, hari ini.
Ikan lumek biasanya disalai secara tradisional untuk memanjangkan jangka hayat serta memberi aroma yang lebih memikat. Ia kini dijual antara RM80 hingga RM100 sekilogram, bergantung kepada kualitinya.
Menurut Abdullah, inisiatif ini bukan sekadar buah tangan, tetapi juga usaha serius untuk mengangkat produk kampung ke pentas lebih luas.
Usaha ini merupakan antara inisiatif beliau untuk mempromosikan pelbagai hasil laut dan pertanian dari Pulau Bruit.
Beliau turut merancang untuk memperkenalkan produk tradisional ini menerusi penganjuran Agrofest atau pesta pertanian yang diadakan di beberapa lokasi di seluruh Sarawak.
Turut dirancang adalah untuk mengadakan sesi taklimat atau kursus kepada pengusaha produk tradisional di kawasannya bagi memperkukuh aspek pemasaran dan pembungkusan.
“Inilah cara kita hendak mengangkat hasil laut tradisi ke peringkat pasaran lebih luas,” katanya.