TANJUNG MANIS, 27 Mei: Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran yang berlaku di tapak pelupusan sampah di Tanjung Manis meskipun kejadian dilaporkan berlaku secara bertompok-tompok.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata kebakaran tersebut mula dilaporkan pada jam 2.58 petang semalam dan kini operasi pemadaman memasuki hari kedua.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis bergegas ke lokasi sejurus menerima maklumat mengenai kejadian itu.
“Ketika ini, anggota bomba masih giat menjalankan kerja-kerja pemadaman bagi memastikan api dapat dipadam sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba terus menjalankan pemantauan rapi di sekitar lokasi bagi memastikan tiada lagi titik panas yang boleh mencetuskan semula kebakaran yang melibatkan kawasan seluas kira-kira satu ekar itu.
“Hujan lebat pagi tadi turut membantu memudahkan operasi pemadaman. Sehubungan itu, bomba berharap keadaan akan kembali pulih seperti biasa,” katanya.
Pada masa yang sama, bomba juga mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka di kawasan pelupusan sampah atau tempat terbuka lain bagi mengelakkan risiko kebakaran, terutama ketika cuaca kering.
“Kerjasama semua pihak amat penting dalam memastikan keselamatan sentiasa terjamin,” katanya.