KOTA KINABALU, 26 Mei: Enam pengembara veteran akan menempuh perjalanan sejauh 160 kilometer dari Labuan ke Penampang bermula 30 Mei ini bagi memperingati mangsa tragedi udara Double Six 1976.
Ekspedisi yang akan berlangsung selama tujuh hari tersebut juga bertujuan menyemarakkan semangat perpaduan rakyat Sabah. Dikenali sebagai Misi Kembara Berjalan Kaki, ia dianjurkan oleh UPKO dan kumpulan Gaso-Gaso Adventurer bermula di Terminal Feri Antarabangsa Labuan dan berakhir di Memorial Double Six, Sembulan pada 6 Jun.
Perjalanan itu akan ditutup dengan penghormatan khas di Buhavan Square, Donggongon, bagi mengenang mendiang Datuk Peter Mojuntin, salah seorang mangsa nahas.
“Inilah kembara jiwa yang mengajak kita merenung sejarah, menghormati wira yang telah gugur, dan memperkukuh semangat perpaduan rakyat Sabah,” kata Ketua Penerangan UPKO, Dr Peter Jr Naintin.
Beliau menegaskan bahawa misi ini melambangkan perjuangan bersama—berteraskan kesatuan, keazaman dan tindakan kolektif yang harus diteruskan oleh generasi kini.
Laluan ekspedisi akan merentasi Menumbok, Kuala Penyu, Membakut, Kimanis, Papar dan Putatan, dengan beberapa program komuniti dirancang sepanjang perjalanan.
Penduduk di sepanjang laluan—termasuk Labuan, Beaufort, Kimanis, Papar, Putatan, Kota Kinabalu dan Penampang—digalakkan tampil memberi sokongan moral kepada pasukan pengembara.
Enam peserta utama ialah Palmis Suhi, Willis Sui, Haidin Ahmad, Suhaimie Suman, Mat Tahir Bahrin dan Alfred Golimas—mewakili ketabahan, semangat dan penghormatan kepada sejarah negeri.
Dr Peter dijadual menyertai mereka bagi jarak terakhir sejauh 3 kilometer dari KDCA ke Buhavan Square pada 6 Jun sebagai simbolik langkah perpaduan bersama.
Seluruh perjalanan ini akan disiarkan secara langsung melalui saluran TikTok Agang Binabang68, dengan peringatan agar semua pihak menghormati sensitiviti tragedi yang menjadi titik penting dalam sejarah Sabah. -TVS