BETONG, 26 Mei: Empat individu cedera ringan manakala seorang lagi tidak mengalami kecederaan dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Serudit di sini, hari ini.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada jam 3.01 petang.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan dan tiba 15 minit kemudian.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati kemalangan melibatkan Perodua Axia yang membawa tiga mangsa, Toyota Hilux dengan seorang mangsa dan sebuah lori Hino tanpa penumpang.
“Ketika kejadian, lori dan Toyota Hilux berada dalam keadaan parkir di bahu jalan. Difahamkan lori milik pekerja pembaikan jalan manakala Hilux digunakan oleh pekerja penyelenggaraan mesin,” kata kenyataan itu.
Tiga mangsa dalam Perodua Axia mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Betong oleh pasukan Emergency Medical Rescue Services (EMRS).
Seorang lagi mangsa iaitu pekerja jalan turut cedera ringan dan telah dibawa ke hospital oleh rakan sekerjanya sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.
Pemandu Toyota Hilux bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Operasi ditamatkan pada jam 3.42 petang. -TVS