KUALA LUMPUR, 26 Mei: Kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta merupakan asas dan kritikal kepada pembangunan ASEAN, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, barisan pemimpin ASEAN percaya bahawa kolaboratif bersama itu penting untuk mempercepatkan pembangunan.
“Beberapa keputusan mesti dibuat oleh sektor swasta dan komuniti perniagaan untuk melengkapi usaha kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi pertemuan antara pemimpin ASEAN dengan wakil Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa semua mesyuarat ASEAN kini menjadikan penglibatan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN sebagai prosedur standard bagi membolehkan mereka menyuarakan pandangan dan memberikan cadangan.
Dalam pada itu, Anwar turut menyentuh mengenai cabaran yang dihadapi ASEAN dalam menghadapi landskap global yang semakin kompleks, termasuk perubahan dinamik geopolitik, kecenderungan unilateral, dan perlindungan oleh kuasa besar dunia.
Sehubungan itu,beliau menegaskan pentingnya untuk memperkukuh ketahanan domestik dalaman dan ketahanan sesama ASEAN.
Menurut Anwar, pemimpin -pemimpin ASEAN turut bersetuju bahawa tidak ada alasan untuk membenarkan tahap perdagangan dan pelaburan sesama ASEAN kekal terhad.
“Potensinya sangat besar, jadi kami menggesa agar cadangan khusus dikemukakan bagi memaksa pembuat dasar menerima sebahagian daripada saranan tersebut,”katanya. – TVS