Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Dickson Dollah merasmikan Seminar Buruh Maritim 2025 di Miri, hari ini. Foto TVS

Pelabuhan pintar teras masa depan industri maritim negara

ByTasha Jenkins Likan Anak Siti

MIRI, 26 Mei: Transformasi ke arah pelabuhan pintar dan automasi pelabuhan perlu diberi keutamaan sebagai langkah strategik dalam memastikan daya saing industri maritim negara terus kukuh di persada global.

Ketua Pengarah Laut Jabatan Laut Malaysia, Datuk Dickson Dollah berkata peralihan kepada teknologi pintar bukan sahaja dapat meningkatkan kecekapan operasi, malah mampu menarik pelaburan dan mewujudkan ekosistem pelabuhan yang lebih mampan serta selamat.

“Transformasi pelabuhan bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan. Kita mesti menerima teknologi inovatif tanpa meninggalkan pekerja.

“Kita mesti memperkasa pelaut bukan sahaja dengan kemahiran tetapi juga dengan penghormatan,” katanya pada Majlis Perasmian Seminar Buruh Maritim 2025 di sini, hari ini.

Menurutnya, tiga tonggak utama perlu diberi perhatian serius dalam membina masa depan industri maritim negara iaitu inovasi pelabuhan, hak dan kebajikan pelaut, serta kerjasama antara institusi berkaitan.

Katanya, antara contoh pelaksanaan teknologi pintar yang wajar diteladani ialah penggunaan teknologi Internet Benda (IoT) dan sistem operasi terminal automatik di Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan terdapat beberapa cabaran yang perlu ditangani terlebih dahulu bagi melancarkan pelaksanaan pelabuhan pintar termasuk isu piawaian digital yang tidak seragam, jurang kemahiran dalam kalangan tenaga kerja maritim serta ancaman keselamatan siber yang semakin meningkat.

“Isu-isu ini memerlukan penyelesaian menyeluruh melalui kerjasama awam-swasta yang lebih mantap. Kita mesti berusaha ke arah penyelarasan standard, peningkatan latihan dan pelaburan dalam keselamatan siber,” katanya.

Dalam masa sama, Dickson menegaskan bahawa pelaut merupakan nadi utama industri perkapalan negara yang sering kali bekerja dalam keadaan mencabar namun kurang mendapat pengiktirafan sewajarnya.

“Malaysia kini mempunyai lebih 100,000 pelaut berdaftar yang memainkan peranan penting dalam memastikan rantaian bekalan negara berjalan lancar. Pemilik kapal bukan sahaja perlu patuh kepada undang-undang, malah perlu menjadi contoh dalam memperjuangkan keadilan dan maruah di lautan,” ujarnya.

Beliau turut menggesa syarikat perkapalan memberi penekanan terhadap aspek kesihatan mental pelaut, termasuk menyokong inisiatif seperti Lembaga Kebajikan Pelaut Malaysia yang menyediakan perkhidmatan kaunseling dan program kesejahteraan di atas kapal.

Katanya, peranan agensi seperti Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) juga penting dalam menjaga kebajikan pelaut, khususnya mereka yang bekerja secara kontrak atau dalam sektor tidak formal.

Beliau menyambut baik peluasan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) yang disifatkan sebagai langkah positif ke arah perlindungan sosial lebih menyeluruh buat komuniti maritim.

“Institusi seperti JTK dan PERKESO mesti terus mendekati komuniti pelaut bagi memastikan mereka tahu hak masing-masing dan cara mendapatkan perlindungan yang tersedia untuk mereka,” katanya.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan