KUCHING, Sept 14 : Kerajaan Sarawak menyambut baik cadangan perlaksanaan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) yang bakal diperkenalkan oleh Kementerian Sumber Manusia.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak negeri, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, mengambil kira situasi semasa, perlaksanaan SKSSR wajar memandangkan suri rumah juga terdedah kepada risiko kemalangan ketika melaksanakan rutin harian mereka.
” Di pihak kerajaan negeri, kita akan meneliti skim ini dengan mendalam sebelum dilaksanakan bagi manfaat suri rumah di Sarawak,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, pihaknya sedang merangka peluasan konsep jaringan keselamatan sosial khusus kepada wanita dalam kalangan suri rumah bagi membela nasib golongan itu jika ditimpa musibah dan insiden tidak diingini.
Ujarnya, pengumuman mengenainya akan dibuat dalam masa terdekat membabitkan konsep sama diguna pakai seperti caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang dikenakan ke atas pekerja.
Berdasarkan rekod, ketika ini terdapat seramai 2.99 juta suri rumah di Malaysia di negara ini dengan seramai 150,000 daripadanya hidup di bawah garis kemiskinan.
Mengulas lanjut, Fatimah berkata, statistik berkenaan memberi petunjuk bahawa pelan bantuan harus dilaksanakan segera bagi meringankan beban golongan suri rumah terutamanya dalam keadaan pandemik ini selain tanggungjawab mereka semakin mencabar termasuk amalan norma baharu seperti bekerja dari rumah dan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran anak-anak di rumah (PdPR).
“ SKSSR ini merupakan satu inisiatif yang bagus oleh pihak kerajaan kerana menghargai golongan suri rumah yang melakukan kerja-kerja rumah tanpa gaji tetapi sebenarnya mempunyai nilai ekonomi,” ujarnya.
” Padsa masa sama, di Sarawak sekiranya suri rumah memerlukan dan masih belum menerima sebarang bantuan, jawatankuasa di peringkat bahagian akan bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mendapatkan sumber bantuan,” katanya. -TVS