Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua jurulatih beregu lelaki negara Herry Iman Pierngadi. Foto fail Bernama

Herry mampu lonjak lebih banyak beregu lelaki Malaysia ke kedudukan 15 terbaik dunia – Rexy

ByBernama

KUALA LUMPUR, 26 Mei: Pengarah kejurulatihan beregu negara Rexy Mainaky percaya Herry Iman Pierngadi mampu mencipta kejayaan sama seperti dilakukannya sebelum ini, iaitu mengangkat lebih banyak beregu lelaki Malaysia menembusi kelompok 15 terbaik dunia.

Beliau berkata keyakinan itu timbul berdasarkan keputusan positif dilakar beberapa pasangan negara selepas Herry mengambil alih tugas selaku ketua jurulatih beregu lelaki pada Februari tahun ini.

“Saya harap boleh berulang lagi era ketika kali pertama menjejakkan kaki ke Malaysia, iaitu kita ada sekurang-kurangnya lima hingga enam beregu dalam kelompok 15 terbaik.

“Adanya jurulatih yang berpengalaman dan melihat cara latihannya, saya positif ia akan terjadi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Masters Malaysia 2025 yang berakhir semalam.

Untuk rekod, Rexy ketika bergelar ketua jurulatih beregu negara pada 2005 hingga 2012 berjaya membawa beregu lelaki negara menduduki kelompok 15 terbaik dunia.

Antaranya bekas pemenang pingat emas Sukan Asia 2006, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong; bekas pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia 2007 Choong Tan Fook-Lee Wan Wah, Mohd Zakry Abdul Latif-Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari dan Gan Teik Chai-Tan Bin Shen.

Herry yang diberi julukan ‘Naga Api’ merupakan jurulatih berprofil tinggi yang berjaya membuktikan sentuhan magisnya membentuk deretan gandingan bertaraf dunia dari Indonesia termasuk melahirkan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Candra Wijaya-Tony Gunawan (Sydney 2000) dan Hendra Setiawan-Markis Kido (Beijing 2008).

Hampir empat bulan bersama Malaysia, jurulatih berusia 62 tahun itu sudah mula mencipta impak dengan membimbing juara dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik muncul juara Kejohanan Badminton Asia di Ningbo, China, bulan lepas diikuti Terbuka Thailand pada 18 Mei.

Semalam, sentuhannya juga telah berjaya membawa satu lagi pasangan Man Wei Chong-Tee Kai Wun menjadi pasangan pertama negara menjuarai Masters Malaysia selepas 12 tahun dengan mengejutkan Aaron-Wooi Yik, 21-12, 15-21, 21-16, di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini.

Setakat ini, tiga beregu lelaki negara menduduki kelompok 15 teratas dalam ranking dunia yang diterajui gandingan profesional Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani (kedua) diikuti Aaron-Wooi Yik (ketiga) dan Wei Chong-Kai Wun (kelapan) manakala Wan Junaidi Wan Arif-Yap Roy King pula berada di kedudukan ke-22 dunia.

Selain itu, Rexy berkata Herry telah mula membawa perubahan dari segi corak permainan beregu lelaki negara antaranya dari segi kawalan emosi, ketahanan lebih jitu serta kepantasan sekali gus melonjakkan keyakinan para pemain untuk beraksi dengan lebih baik dalam gelanggang.

Beliau juga berharap barisan pelapis mampu mengambil peluang melihat prestasi semakin meningkat ditonjolkan pasangan senior sebagai inspirasi untuk terus maju.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan