KUCHING, Sept 14 : Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak (KWKPK) negeri akan terus memberi kesedaran dalam kalangan kanak-kanak mengenai kewujudan pedofilia.
Menterinya, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata , perhatian juga akan diberikan kepada golongan ibu bapa memandangkan mereka bertanggungjawab dalam memantau pergaulan anak masing – masing.
“Usaha mendidik dan memberi kesedaran ini akan terus dilaksanakan dengan kerjasama Pembangunan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) , Persatuan Wanita untuk Wanita Sarawak (SWWS), Persatuan Ibu Bapa-Guru (PIBG) dan pemimpin masyarakat,” katanya.
Mengulas lanjut, Fatimah berkata, berdasarkan statistik, terdapat 260 kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak dilaporkan di negeri ini.
Sehubungan itu ujarnya, ibu bapa, ahli keluarga dan golongan pendidik perlu memainkan peranan kritikal untuk mengekang aktiviti songsang pemangsa seksual bagi memastikan kebajikan serta kesejahteraan kanak-kanak dan remaja di bawah umur dapat dilindungi.
Menurutnya, pada masa sama, pihak berkuasa berdepan kekangan memandangkan pedofilia sukar untuk dikesan malah pemangsa bertindak licik dengan menyasarkan kanak-kanak yang suka bermain permainan dalam talian dan tidak mempunyai akses kepada telefon pintar.
“Beberapa langkah pencegahan perlu diambil supaya kanak-kanak dan remaja dapat hidup dalam keadaan yang tenang tanpa gangguan seksual. Antaranya menerangkan kepada mereka langkah -langkah keselamatan dan fungsi tubuh badan ,” katanya.
Pada masa sama, Fatimah menasihatkan ibu bapa supaya tidak membenarkan anak mereka yang masih kecil dipeluk atau dicium secara berlebihan oleh orang lain walaupun di kalangan individu yang dikenali.
” Bagi kanak-kanak yang sudah mula menginjak remaja, ibu bapa perlu menerangkan istilah seperti muhrim serta sentuhan yang dibolehkan seperti bersalaman bukannya belaian yang menimbulkan rangsangan,” katanya.
Fatimah berkata kementeriannya mempunyai khidmat kaunseling untuk mangsa namun disebabkan pandemik COVID-19 tidak ramai yang tampil untuk mendapatkan bantuan.
Baru -baru ini, rakyat negara ini digemparkan dengan penahan seorang penjenayah berkaitan padefilio , Aladdin Lanim di Sarawak dengan ribuan bahan pornografi kanak – kanak ditemukan dalam telefon bimbitnya dan telah dijatuhkan hukuman penjara 48 tahun serta 15 sebatan .
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, tertuduh dijangka akan dituduh lagi di mahkamah dengan beberapa pertuduhan baharu dalam masa terdekat. -TVS