KUALA LUMPUR, 25 Mei: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi ASEAN 2025 mendapat pujian atas usaha gigih beliau memulakan dialog dengan pihak yang bertelagah di Myanmar dan cuba mencari jalan untuk menyelesaikan konflik yang berlarutan itu.
Rakan Pengurusan Counter Risk Consultancy Malaysia Sdn Bhd Peter Nicoll berkata Perdana Menteri telah memulakan dialog berasingan dengan kedua-dua junta tentera dan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) yang menonjolkan “langkah ke arah penglibatan yang mungkin lebih proaktif untuk menyelesaikan konflik”.
“Selain itu ASEAN merancang untuk mendedikasikan mesyuarat akan datang semata-mata kepada konflik Myanmar itu sendiri, bagaikan cuba menghidupkan semula proses damai yang terhenti,” katanya dalam program bual bicara khas mengenai ASEAN yang disiarkan melalui Bernama TV, dihoskan oleh Jessy Chahal.
Beliau berkata perkara ini terbukti pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di ibu negara apabila mesyuarat berasingan telah diadakan semalam antara pegawai kanan Myanmar dan tiga negara – Laos, tuan rumah sebelumnya bagi ASEAN; Malaysia, tuan rumah semasa; dan Filipina, tahun depan.
“Jadi sementara pendekatan awal ASEAN belum lagi membuahkan hasil yang diinginkan, inisiatif baru-baru ini mungkin menandakan kesediaan untuk menggunakan strategi yang lebih tegas dan inklusif untuk menangani krisis di Myanmar,” katanya.
Sementara itu Profesor Madya di Pusat Pengajian Politik di University of Nottingham Malaysia Dr Benjamin Robin Barton berkata sikap pesimis berhubung Myanmar adalah wajar.
Beliau berkata ini kerana sehingga kini, tidak ada satu kejayaan dan merupakan situasi yang sangat kompleks memandangkan terdapat junta dan kumpulan lain yang tidak bercakap antara satu sama lain dengan suara yang sama.
Nicoll berkata “Keterangkuman dan Kemampanan” yang menjadi tema Kepengerusian ASEAN Malaysia yang menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, menampilkan peluang dan juga cabaran dalam konteks krisis politik yang sedang berlarutan di Myanmar.
“Ia adalah langkah yang sangat penting oleh Malaysia (untuk memulakan rundingan dengan pihak tidak sefahaman) dan juga waktu yang sesuai kerana Malaysia mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN ketika ini,” katanya.
Beliau berkata dari satu segi pengecualian Myanmar daripada mesyuarat peringkat tinggi mungkin kelihatan bercanggah dengan keterangkuman, namun intepretasi lebih dalam menunjukkan bahawa langkah itu bukan hanya mengenai pengecualian, tapi ia menyentuh langkah menjunjung kredibiliti kolektif ASEAN dan tanggungjawab etika.
“Dengan menafikan kesahihan politik junta tentera sementara masih membenarkan perwakilan politik, ASEAN cuba mengimbangi penglibatan dengan prinsip,” kata Nicoll. -TVS