KUCHING, 25 Mei: Kuching Marathon 2025 (KM2025) yang akan diadakan pada 21 September ini dijangka menarik lebih 15,000 peserta tempatan dan antarabangsa bersempena ulang tahun ke-10 penganjurannya.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, acara yang bermula sejak 2014 itu terus mendapat sambutan hangat dan menjadi tarikan pelancongan sukan.
“Penganjuran acara larian seperti ini adalah bertujuan untuk mewujudkan satu acara sukan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa di Bandaraya Kuching.
“Di samping itu, ia juga berperanan sebagai platform untuk mempromosikan Bandaraya Kuching sebagai destinasi pelancongan antarabangsa dalam kalangan komuniti pelari global, serta memperkenalkan Sarawak sebagai destinasi sukan bertaraf dunia,” katanya pada sidang media Kuching Marathon 2025 di Kuching pada Ahad.
Logo rasmi KM2025 yang baharu turut diperkenalkan, menampilkan simbol ‘X’ sempena ulang tahun ke-10 serta motif suku Dayak, mencerminkan kekayaan budaya peribumi Sarawak.
Empat kategori dipertandingkan termasuklah Full Marathon (42 kilometer), Half Marathon (21 kilometer), 10 kilometer dan 5 kilometer dengan tawaran hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM125,000.
Sehingga hari ini, seramai 7,822 pelari telah mendaftarkan diri dan mereka terdiri daripada 6,719 peserta tempatan dan 1,103 peserta antarabangsa dari 18 negara termasuk Jepun, Kanada, UK, Afrika Selatan dan Vietnam.-TVS