KUALA LUMPUR, 25 Mei: Sarawak melihat potensi untuk mengurangkan kos penghasilan hidrogen daripada 30 kiloWatt jam setiap kilogram (kWj/kg) kepada 10 kWj/kg, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak itu berkata, usaha berkenaan sedang dilaksanakan dengan kerjasama bersama syarikat dagangan tenaga awam Jerman, Siemens Energy.
“Ada kemungkinan kos dapat dikurangkan lagi kerana kami masih berusaha (melaksanakannya) dengan Siemens, ia akan menjadi kira-kira 10kWj sekilogram. Sarawak sedang menuju ke arah tenaga bersih,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi perkongsian Menerajui Kemampanan dan Digitalisasi ASEAN pada Sidang Kemuncak Ekonomi Wanita ASEAN (AWES) di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib.
Abang Johari berkata menerusi kerjasama dengan Bahagian Penyelidikan PETRONAS dan syarikat Jepun sebelum ini, Sarawak telah menambah baik teknologi penghasilan hidrogen menerusi kaedah membrane baharu.
“Kerjasama itu telah membawa kepada penghasilan hidrogen daripada 60kWj sekilogram kepada 30kWj sekilogram,” katanya.
Tambah Abang Johari, penyelidikan dan inisiatif tersebut membolehkan Sarawak untuk mematuhi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
“Tenaga bersih itu akan menjadi sumbangan Malaysia khususnya Sarawak kepada usaha dunia untuk persekitaran yang lebih bersih buat manusia dan alam semula jadi,” katanya. – TVS.