Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) bakal menganjurkan World Islamic Tourism & Trade Expo (WITEX 2025) dan World Cultural & Arts Festival (WCAF 2025). Foto MATA

Malaysia tuan rumah WITEX, WCAF 2025: Platform global pelancongan Islam

ByRadzi Ahmad

SELANGOR, 21 Mei: Malaysia sekali lagi mencuri tumpuan dunia apabila dipilih sebagai tuan rumah kepada penganjuran edisi ketiga World Islamic Tourism & Trade Expo (WITEX 2025) serta edisi sulung World Cultural & Arts Festival (WCAF 2025) yang akan berlangsung dari 22 hingga 24 Ogos 2025 di Sunway Resort Hotel, di sini.

Penganjuran acara berskala antarabangsa ini diumumkan oleh Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) dan akan menyaksikan lebih 150 reruai pameran serta penyertaan pelbagai negara termasuk dari rantau ASEAN dan negara anggota BRICS.

Presiden MATA, Dato’ Sri Dr. Mohd Khalid Harun berkata, penganjuran WITEX 2025 adalah lebih daripada sekadar pameran.

“Ia adalah jambatan global yang menghubungkan perdagangan dan kepercayaan.

“Ia mencerminkan kepimpinan Malaysia dalam ekonomi pelancongan Islam dan kesiapsiagaan negara menyambut dunia menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya dalam siaran akhbar pada Selasa.

Bertemakan “Memperkasa Masa Depan Pelancongan dan Perdagangan Islam melalui Budaya dan Inovasi”, acara ini menghimpunkan pemimpin kerajaan, pelabur, pemain industri global serta masyarakat umum dalam satu platform inklusif berteraskan perdagangan, pelaburan dan interaksi budaya.

Antara pengisian utama ialah Persidangan Pelancongan Islam Dunia, Sidang Kemuncak Menteri dan Ketua Pegawai Eksekutif serta sesi jaringan perniagaan B2B melibatkan ratusan pembeli dari seluruh dunia.

Selain itu, pengunjung juga bakal menikmati persembahan budaya dari pelbagai negara, demonstrasi kulinari, pakej pelancongan dan Umrah halal, serta cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk tiket penerbangan dan baucar penginapan.

Kemasukan ke acara ini adalah percuma kepada orang awam.

Acara kemuncak minggu tersebut ialah Malam Anugerah World Islamic Tourism & Trade Awards (WITA 2025) pada 25 Ogos, yang bakal meraikan kecemerlangan dalam pelancongan Islam, perdagangan dan diplomasi budaya, diserikan dengan persembahan muzik dan Kombo Orkestra.

WITEX, yang dahulunya dikenali sebagai AITEX, kini berwajah baharu seiring dengan penjenamaan semula yang mencerminkan pertumbuhan pesat sektor pelancongan Islam.

Ketua Pegawai Eksekutif Projek WITEX 2025, Dato’ Jeffri Sulaiman menyifatkan penjenamaan semula WITEX sebagai langkah berani untuk mengukuhkan pengaruh di peringkat antarabangsa.

“WCAF 2025 melengkapkan usaha ini dengan menyatukan budaya dan perdagangan di bawah satu bumbung yang meriah,” tambahnya.

Penganjuran WITEX 2025 dan WCAF 2025 turut disokong oleh Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), Tourism Selangor, Etiqa Takaful, Batik Air Malaysia dan Housecoff, serta rakan kolaborasi serantau dan antarabangsa termasuk Global Islamic Tourism Organisation (GITO), World Islamic Tourism Council (WITC), BRICS Tourism Alliance (BTA) dan Persekutuan ASEAN Umrah & Haji (AFUH).

Orang ramai dan pemain industri yang berminat untuk menyertai atau mendaftar boleh berbuat demikian di laman rasmi www.witex.my. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan