TAMPARULI, 24 Mei: Tiga lelaki cedera ringan selepas lori tiga tan yang mereka naiki terbabas lalu merempuh pagar sekolah dan tiang telekomunikasi sebelum terbalik di Kampung Gayaratau, Tamparuli petang tadi.
Menurut Komander Operasi, PBK II Norkizan Durudin, pihak bomba menerima panggilan pada jam 1.15 tengah hari sebelum tiba di lokasi kejadian kira-kira 30 minit kemudian.
“Sebaik tiba, dua daripada tiga mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam manakala seorang lagi masih tersepit dalam kenderaan,” katanya.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran bertindak menggunakan peralatan khas Road Traffic Accident (RTA) bagi mengeluarkan mangsa ketiga yang tersepit.
Ketiga-tiga mangsa iaitu lelaki berumur 22, 49 dan 56 tahun mengalami kecederaan ringan dan diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.
Pemeriksaan keselamatan turut dilakukan di kawasan sekitar bagi memastikan tiada bahaya lain yang timbul.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.45 petang.-TVS