KUCHING, 24 Mei: Lima anak syarikat Shell yang berpangkalan di Sarawak berjaya memenangi pertandingan Shell LiveWire Malaysia 2025 Sarawak yang diadakan di TEGAS Digital Village hari ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Bandar Pentadbiran Tanah dan Sumber Asli Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, inisiatif tersebut menyerlahkan peranan penting keusahawanan dalam memacu pembangunan ekonomi, menjana pekerjaan dan memupuk masyarakat berdaya tahan.
“Kami di TEGAS berbangga dapat bekerjasama dengan Shell Malaysia untuk program Shell LiveWire di mana kerjasama ini menggariskan komitmen kami untuk memupuk syarikat baharu dan perusahaan sosial tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara pada itu, Shell dalam satu kenyataan memaklumkan, lima anak syarikat tersebut, Desa Inspirasi Resources, Earthlings Coffee Workshop Sdn Bhd, Lariss Quna Enterprise, Lettuboost dan Maxeon Technologies Sdn Bhd antara yang teratas dipilih berdasarkan kekuatan dan potensi mereka.
Menurut kenyataan itu, lima anak syarikat yang berjaya dianugerahkan dana permulaan sebanyak RM10,000 daripada Shell dan tambahan RM5,000 daripada TEGAS.
Selain itu, lima anak syarikat tersebut juga akan menerima bimbingan perniagaan selama setahun untuk memperhalusi rancangan perniagaan mereka dan mengubah menjadi usaha niaga berjaya selain mendapat akses kepada sumber dan peluang dari TEGAS.
“Pemenang akan berpeluang untuk berhubung dengan rangkaian LiveWire global, berkongsi pandangan mereka dengan usahawan di seluruh dunia dan berpotensi mengambil bahagian dalam Anugerah Shell Global Top Ten Innovators,” jelas kenyataan itu.
Dalam pada itu, Pengurus Besar Sarawak Gas, Shell Malaysia Upstream, Choong Yen Li berkata, Shell LiveWire merupakan platform bermakna yang memperkasakan bakal usahawan untuk mengubah idea mereka menjadi usaha niaga yang memberi impak.
“Melalui inisiatif ini, individu bukan sahaja mendapat peluang untuk membina perniagaan mereka sendiri tetapi juga menyumbang ke arah penciptaan pekerjaan dan pembangunan komuniti.
“Saya amat menggalakkan usahawan kami untuk mengambil bahagian dalam program ini yang menawarkan pengetahuan, kemahiran, rangkaian dan sumber penting untuk menghidupkan visi mereka,” ujarnya.
Shell LiveWire ialah program pembangunan perusahaan utama Shell yang berperanan mengukuhkan ekonomi tempatan di seluruh dunia dengan mempromosikan keusahawanan dan pembangunan usahawan.
Program tersebut yang bermula di Sabah pada 2015, Sarawak pada 2016 dan seterusnya di Semenanjung Malaysia pada 2022 adalah untuk memberi inspirasi kepada usahawan muda berinovasi dan menghasilkan penyelesaian perniagaan sebenar yang memenuhi keperluan sosioekonomi masa kini. – TVS