LUBOK ANTU, 24 Mei: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menekankan potensi besar sisa kelapa sawit dalam sektor ternakan dan pengeluaran tenaga hijau yang mampu memberi pulangan ekonomi kepada pekebun kecil serta industri tempatan.
Beliau berkata, sisa hasil daripada pemprosesan sawit seperti tandan kosong dan bahagian kernel boleh dijadikan makanan haiwan yang bernutrien tinggi.
“Kalau sebahagian daripada tanah antara pokok kelapa sawit digunakan, dia (pemilik) boleh buat tempat ternakan haiwan.
“Haiwan ini tak perlu pakai kawasan ragut macam dahulu. Sekarang boleh guna sistem kotak dan bahan makanan dicampur dengan sisa kelapa sawit, ia menjadi bahan yang mempunyai nilai-nilai nutrien kepada ternakan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Loji Pemecahan Isirung (KCP) di Lubok Antu Palm Oil Mill 2, di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom serta Pengurus Besar Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA), Joseph Blandoi.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, langkah tersebut boleh menambah dua aliran pendapatan kepada pekebun kecil.
“Jika ternakan kita menjadi sihat, ini akan menambah pendapatan kepada pekebun kita. Maka mereka akan mempunyai dua aliran pendapatan iaitu, satu daripada kelapa sawit dan satu lagi daripada ternakan. Oleh itu, mereka ada dua sumber pendapatan,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menjelaskan usaha tersebut adalah sebahagian daripada perancangan menjadikan Sarawak sebagai hab pengeluaran makanan dengan memanfaatkan sumber tanah yang luas serta keperluan kepada teknologi baharu. – TVS