Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap pada Majlis Perasmian Loji Pemecahan Isirung (KCP) di Lubok Antu Palm Oil Mill 2, hari ini. Foto Teo Chi Wei (TVS)

Sarawak cadang tubuh entiti khas urus sisa kelapa sawit

ByAhmad Burhanuddin

LUBOK ANTU, 24 Mei: Kerajaan Sarawak kini sedang merancang menubuhkan sebuah entiti khas bagi mengurus dan memproses sisa industri kelapa sawit secara berpusat.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perbincangan akan diadakan bersama-sama Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom serta Peguam Besar Negeri Dato Sri Safri Ali untuk melihat semula undang-undang berkaitan pengurusan sisa.

Menurutnya, pada masa ini perkongsian bahan buangan tidak berlaku secara menyeluruh kerana ada pihak yang enggan menyerahkan sisa mereka.

“Oleh itu, kerajaan mempertimbangkan mekanisme undang-undang bagi mewujudkan kerjasama mandatori antara sektor swasta dan Kerajaan Sarawak.

“Saya akan minta Peguam Besar Negeri untuk melihat undang-undang. Kita ada 85 kilang (seluruh Sarawak) dan mereka boleh bekerjasama untuk membawa sisa-sisa yang dibuang.

“Kita kumpulkan semua dalam satu pusat yang mana ia boleh diproses untuk mengeluarkan hasil sampingan secara besar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Loji Pemecahan Isirung (KCP) di Lubok Antu Palm Oil Mill 2, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom serta Pengurus Besar Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA), Joseph Blandoi.

Dalam pada itu, Abang Johari dalam ucapannya turut menekankan pengumpulan sisa secara berpusat penting untuk memastikan terdapat jumlah isi padu mencukupi bagi menjamin keberkesanan ekonomi dan proses pemprosesan mampan.

“Kalau cuma ada dua, tiga atau empat tan sahaja, ia tidak mencukupi. Tetapi jika dikumpulkan hingga menjadi 100 tan, barulah ada isi padu yang efisien untuk kita menghasilkan produk seperti biogas, metana dan hidrogen,” ujarnya.

Menurutnya, langkah tersebut akan menyokong pembentukan sektor pertanian hijau yang bebas daripada unsur politik dan berasaskan prinsip kelestarian alam sekitar sekali gus memberi manfaat kepada semua pengusaha kilang sawit di Sarawak. – TVS

Berita Berkaitan

No data was found

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan

No data was found