KUCHING, 24 Mei: Sebuah rumah teres setingkat musnah dalam kebakaran di Lorong Lee Ling, Jalan Matang – Kampung Paroh di sini, awal pagi tadi.
Komander Operasi, Rahman Abang Deni berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kęs itu jam 4.53 pagi dengan menggerakkan 24 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi didapati api telah membakar keseluruhan rumah teres setingkat tersebut yang mempunyai keluasan 30×60 kaki persegi.
“Pihak bomba bertindak melakukan operasi pemadaman dengan membentang dua aliran 300 kaki, tiga nozel menggunakan air daripada jentera dan pili bomba yang berhampiran sehingga api padam sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, setelah membuat pemantauan dan memastikan api padam sepenuhnya serta keadaan benar-benar selamat operasi ditamatkan dan pasukan bomba bertolak balik ke balai.
Kebakaran tersebut tidak melibatkan mangsa dan punca serta nilai kerugian masih dalam siasatan.-TVS