KUCHING, 24 Mei: Kerajaan Sarawak berhasrat mencapai kemakmuran ekonomi seiring dengan kelestarian alam sekitar, kata Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi & Pembangunan), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel.
Beliau berkata, perancangan itu hanya boleh direalisasikan sekiranya alam sekitar di wilayah ini terus terpelihara walaupun pembangunan pesat sedang berlaku.
Menurutnya, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mahu melihat pembangunan ekonomi di Sarawak selari dengan kelestarian alam.
“Premier kita merancang pencapaian ekonomi makmur tanpa meninggalkan keindahan alam sekitar. Apabila kita mencapai status negeri maju menjelang 2030 dan negeri berpendapatan tinggi, kita boleh hidup dalam keadaan sihat yang mana alam sekitar dijaga serta tidak dirosakkan dalam dalam arus pembangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Biodiversiti SBC 2025 di Pusat Biodiversiti Sarawak hari ini.
Abdullah menjelaskan, Sarawak yang berkeluasan 145,000 kilometer (km) persegi masih mempunyai 60 peratus flora dan fauna dan ia perlu dikekalkan untuk generasi akan datang.
Untuk rekod pada 22 April lalu, Kerajaan Sarawak melancarkan Pelan Induk Biodiversiti Sarawak yang menekankan polisi dan program masa hadapan untuk memastikan sumber biologi diurus dan digunakan dengan baik untuk pembangunan ekonomi mampan.
Sementara itu, Abdullah menyifatkan sambutan Hari Biodiversiti SBC 2025 dilihat mampu menarik minat pengunjung terutama generasi muda terhadap pendidikan sains selain meningkatkan kesedaran dan penghargaan terhadap alam sekitar.
“Penganjuran program ini juga dilihat satu langkah baik bagi aktiviti pembelajaran di luar kelas terutama kepada golongan pelajar sekolah yang mengambil aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Salah satu dari fokus utama sambutan Hari Biodiversiti adalah pendidikan dan penglibatan golongan muda dalam memastikan pelajar kita mendapat pengalaman secara langsung dengan pendidikan sains,” ujarnya.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Biodiversiti Sarawak,Dato Dr Yeo Tiong Chia dan Ahli Majlis Pusat Biodiversiti Sarawak Adana Jed, Jack Anak Liam dan Anne Kung.-TVS