BETONG, 23 Mei: Karnival Gawai Bahagian Betong yang berlangsung selama 10 hari di Dataran Tasik Medan Betong bukan sahaja mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung, malah ia diakui memacu sektor pelancongan dan ekonomi di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Gawai Dayak Peringkat Bahagian Betong 2025, Rollin Jenta Gem berkata, bahawa kejayaan itu turut memberi kesan positif kepada peningkatan sosioekonomi penduduk yang merupakan salah satu matlamat utama karnival berkenaan.
“Penyertaan yang kita terima terutamanya daripada pengiat Industri Kecil Sederhana (PKS) dari dalam dan luar Betong pada karnival tersebut amat mengalakkan.
“Dengan sebanyak 40 pelbagai gerai jualan telah berjaya dibuka sepanjang tempoh sepuluh hari penganjuran karnival berkenaan dari 9 sehingga 18 Mei yang lepas yang turut menyaksikan kehadiran ribuan pengunjung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas ke Upacara Miring Mantar Gawai Dayak Peringkat Bahagian Betong 2025 di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan pada Jumaat.
Sementara, Majlis Makai Malam Mantar Gawai Dayak pada malam esok di lokasi yang sama menurutnya akan dihadiri oleh sekitar 2, 000 tetamu dengan majlis perasmian dijangka akan disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Jekasnya, sambutan mengalakkan daripada orang ramai dan para peniaga itu telah memberikan keyakinan bahawa penganjuran edisi seterusnya akan lebih meriah dengan impak yang lebih besar kepada komuniti setempat. – TVS.