KUCHING, 23 Mei: Sarawak kini semakin muncul sebagai kuasa ekonomi utama di rantau ASEAN hasil kepimpinan diterajui Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Adam Yii Siew Sang berkata, ia menerusi kejayaan dalam menerajui kemajuan dalam sektor-sektor utama termasuk ekonomi hijau, peralihan tenaga dan industri berteknologi tinggi.
“Yang paling ketara, Sarawak kini diiktiraf kerana potensinya yang besar untuk menjadi ‘Bateri ASEAN’ dengan memanfaatkan sumber tenaga hidro yang melimpah, keupayaan dalam penghasilan hidrogen bersih serta komitmen yang kukuh terhadap kelestarian.
“Usaha ini bukan sahaja menarik minat pelabur asing, malah turut mengangkat profil Sarawak di peringkat antarabangsa sebagai sebuah wilayah yang diyakini stabil dan berpandangan jauh serta bersedia untuk menerajui era tenaga baharu,” katanya ketika membahaskan Usul Penghargaan atas Ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak di DUN hari ini.
Menurutnya, pengiktirafan global tersebut merupakan satu pengesahan lanjut bahawa Sarawak berada di landasan yang betul di bawah kepimpinan Premier Sarawak.
Tambahnya, dasar yang dilaksanakan hari ini meletakkan asas bagi kemakmuran jangka panjang serta kepimpinan serantau.
“Dengan pembangunan infrastruktur yang berterusan seperti pembinaan jambatan dan jalan raya yang menghubungkan kawasan luar bandar dan bandar sekali gus pelancaran Air Borneo yang menghubungkan Sarawak ke destinasi utama di peringkat global, kita menyaksikan transformasi yang menjadikan Sarawak semakin menarik kepada para pelabur dari seluruh dunia,” ujarnya.
Pada masa sama, Adam Yii turut mengetengahkan antara pencapaian penting Abang Johari mengenai pengukuhan hubungan dengan United Kingdom dalam bidang pendidikan, penyelidikan, pembuatan, semikonduktor, dan tenaga.
Ujarnya, ia mencerminkan profil antarabangsa Sarawak yang semakin meningkat serta daya saing kukuh. – TVS