MIRI, 23 Mei: Pereka fesyen tempatan, Mimie James dari Miri menghidupkan semula keunikan motif kain buri Iban Batang Rajang dengan menggabungkan warisan tradisional dalam nada sentuhan fesyen moden yang memukau dan penuh gaya.
Mimie yang telah berkecimpung dalam industri fesyen sejak 2018 terkenal dengan pendekatan kontemporari terhadap warisan tradisional telah memperkenalkan rekaan ‘ready-to-wear’ berasaskan bahan kulit siput atau buri.
“Saya ingin mengembalikan kegemilangan motif Batang Rajang yang semakin dilupakan,” beliau berkata demikian ketika ditemui TVS pada Peragaan Fesyen Buri oleh Mimie James Mayfest 2025 di Miri City Fan, pada Khamis.
Tambahnya, rekaan berasaskan Buri bukan sahaja menonjolkan keunikan tekstur dan warna semula jadi bahan tersebut malah sesuai digayakan oleh semua peringkat umur.
“Kami pilih warna yang sedikit gelap agar buri lebih menonjol. Ia memberi sentuhan eksklusif dan elegan,” katanya lagi.
Menurutnya lagi, sambutan terhadap tempahan rekaan berasaskan buri amat menggalakkan khususnya menjelang perayaan Gawai.
“Untuk bulan ini sahaja, tempahan melebihi 100 pasang,” ujarnya.
Peragaan Fesyen Buri kali ini membawa tema ‘Be Classy with Classy Be Me’ yang mengetengahkan elemen kemewahan dan gaya elegan yang berpaksikan warisan budaya.
Beliau berharap usaha ini mampu memastikan warisan Buri tidak terus luput ditelan zaman.
“Saya mahu semua orang, terutamanya masyarakat Iban mengangkat kembali warisan kita sendiri. Ia unik dan tiada di tempat lain,” ujarnya lagi.
Kejayaan awal Mimie dalam industri ini bermula apabila beliau dinobatkan sebagai The Best Borneo Designer di London pada tahun 2019 sekaligus pengaruhnya dalam dunia fesyen tempatan dan serantau semakin berkembang. – TVS