PUTRAJAYA, 22 Mei: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan Datin Seri Pamela Ling, yang dilaporkan hilang baru-baru ini, bukan suspek dalam siasatan kes penggubahan wang haram, tegas Tan Sri Azam Baki.
Ketua Pesuruhjaya SPRM itu mendedahkan Pamela hanya dipanggil sebagai seorang saksi dan telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan.
“SPRM tidak pernah menahan beliau untuk siasatan. Pamela Ling hanyalah seorang saksi yang dipanggil untuk membantu siasatan kami.
“Malah, beliau memberikan kerjasama yang baik setiap kali dipanggil,” katanya pada sidang media di ibu pejabatnya di Putrajaya hari ini.
Azam juga memaklumkan bahawa kejadian kehilangan tersebut berlaku di luar premis agensi itu dan siasatan lanjut diserahkan sepenuhnya kepada pihak polis.
“Kes kehilangan beliau, kita serahkan kepada pihak polis dan kami memberi kerjasama yang sangat baik,” jelasnya kepada pemberita.
Sebelum ini media melaporkan Pamela Ling Yueh hilang ketika dalam perjalanan ke pejabat SPRM di Putrajaya dengan menggunakan perkhidmatan E-Hailing.
Kenderaan dinaikinya dipintas oleh beberapa buah kenderaan dan beliau kemudiannya dipaksa mengikut individu yang menyamar sebagai anggota polis. -TVS