KUCHING, 22 Mei: Persatuan Agensi Umrah dan Haji Sarawak (SUHA) menyeru umat Islam di Sarawak supaya mematuhi sepenuhnya undang-undang Arab Saudi sepanjang musim haji.
Presidennya, Ruzaiman Ghazalee berkata, dalam beberapa tahun kebekalangan ini, banyak amalan menunaikan ibadah haji menggunakan visa pelancong atau umrah.
“Perlu ditegaskan dengan jelas bahawa visa jenis ini tidak dibenarkan oleh Kerajaan Arab Saudi untuk tujuan menunaikan haji.
“Tindakan menggunakan visa tidak sah untuk melaksanakan ibadah haji merupakan satu pelanggaran serius terhadap undang-undang Arab Saudi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurutnya, pihak berkuasa Arab Saudi berkali-kali mengeluarkan amaran dan tahap penguatkuasaan kini jauh lebih ketat berbanding sebelum ini.
“Hukuman yang dikenakan semakin berat dan kemungkinan untuk dikesan semakin tinggi setiap tahun. Selain itu, pihak jemaah juga perlu menilai sama ada melaksanakan haji secara tidak sah dan melanggar peraturan ini menepati ajaran Islam.
“Ramai jemaah yang mengikuti pakej visa ini tidak faham bagaimana urusan tidak sah dilakukan dan ini boleh
menyebabkan mereka menghadapi masalah besar,” ujarnya.
Ruzaiman menjelaskan, SUHA tidak menyokong urusan yang melanggar undang-undang di Arab Saudi.
“Peraturan dan undang-undang ini wujud untuk melindungi keselamatan jemaah dan memastikan kelancaran ibadah di Kota Mekah.
“Sebagai tetamu di negara orang juga, kita perlu menghormati peraturan yang ditetapkan. Setiap orang Islam perlu menunaikan haji dengan cara yang sah tanpa mengambil jalan pintas yang boleh merosakkan ibadah dan mencemarkan reputasi negara,” jelasnya.-TVS