KUCHING, 22 Mei: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari memberi jaminan deklarasi bersama yang ditandangani Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beliau terpakai sampai bila-bila.
Abang Johari berkata, walaupun kepimpinan Kerajaan Persekutuan bertukar pada masa depan, ia masih terpakai.
“Ini adalah pemahaman asas antara Kerajaan Persekutuan dan pihak kita (Sarawak), ia sudah ditulis dan ditandatangani, kami tidak akan menandatangani lagi… jangan risau.
“Ia akan menjadi penamat kerana mereka ingin menjadi platform untuk sektor perniagaan minyak,” katanya pada sidang media di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Menurutnya, deklarasi bersama tersebut turut memberi pengecualian kepada Petronas untuk beroperasi di Sarawak.
“Kami memberi mereka (Petronas) pengecualian, jika mereka memohon melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi… tetapi mereka perlu memberitahu kami, kemudian kami memberi mereka pengecualian.
“Kuasa untuk mengeluarkan lesen adalah Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi, dan kementerian mempunyai kuasa untuk mengecualikan Petronas… sebagai sebuah syarikat nasional, kita beri pengecualian kepada mereka,” katanya.
Turut hadir Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan Petros) Datuk Ibrahim Baki dan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.-TVS