KUCHING, 22 Mei: Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak mampu mengurangkan keperluan graduan berhutang melalui pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selepas tamat pengajian.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dr. Annuar Rapaee berkata, inilah antara dasar penting dan mulia dilaksanakan Kerajaan Sarawak.
“Matlamat skim pendidikan tersebut adalah untuk pembangunan modal insan negeri selaras Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS) 2030 yang menyasarkan 30 peratus tenaga kerja mahir menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Tupong Datuk Fazzrudin Abdul Rahman mengenai Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak pada Persidangan DUN Sarawak, hari ini.
Menurutnya, ia membabitkan bidang ekonomi digital, ekonomi hijau, aeroangkasa dan tenaga boleh diperbaharui.
“Apabila dasar ini dapat dilaksanakan, ia juga membantu pelajar terutamanya daripada golongan kurang berkemampuan masuk ke universiti
“Dengan penambahan kemasukan ini, ia sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan kita kepada pekerja asing dalam bidang-bidang tersebut,” ujarnya,
Annuar yang juga ADUN Nangka menjelaskan, hanya kursus tertentu yang ditawarkan untuk skim tersebut dengan melihat kepada keperluan Sarawak pada masa kini.-TVS