KUCHING, 21 Mei: Belia Sarawak digesa untuk lebih proaktif dalam merebut peluang dalam bidang keusahawanan melalui Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE).
Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia (SME Corp), Rizal Dato’ Nainy berkata, penyertaan belia Sarawak dalam TUBE 11 masih boleh dipertingkatkan kerana potensi yang ada dalam kalangan anak muda wilayah ini sangat besar.
“Kita buka permohonan di Sarawak selama seminggu dan seramai 180 belia yang memohon tetapi akhirnya hanya 61 yang terpilih untuk menyertai program ini setelah proses temuduga dan penapisan dilakukan,” katanya ketika berucap di Majlis Peluncuran Program TUBE 11 2025 Wilayah Sarawak.
Menurut Rizal lagi, peserta Sarawak yang terpilih sangat bertuah kerana mereka memenuhi kriteria ketat dan berjaya diserap ke dalam program latihan tersebut.
Beliau menekankan bahawa program TUBE bukan sekadar latihan keusahawanan, tetapi satu ekosistem bimbingan jangka panjang yang sentiasa menyediakan sokongan melalui pembiayaan alternatif sehinggas RM100,000 dengan kadar keuntungan dua peratus setahun melalui kerjasama Funding Societies.
Sehubungan itu, peserta TUBE juga akan dibimbing oleh kaunselor perniagaan SME Corp serta peluang untuk menyertai aktiviti pemadanan perniagaan ke peringkat domestik dan antarabangsa.
“Kita mahu melihat peserta TUBE Sarawak bukan sekadar memulakan perniagaan, tetapi kekal berkembang.
“Dengan sokongan kerajaan dan pelaksanaan program penskalaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13), perniagaan mereka berpotensi berubah daripada mikro kepada kecil dalam tempoh beberapa tahun,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan peserta agar memastikan pelaksanaan rancangan perniagaan mereka berada di landasan yang betul kerana pasaran kini menuntut usahawan yang cekal dan inovatif bagi menghadapi persaingan global.
Tegas beliau, belia kini perlu menjadi generasi yang mencipta peluang dan berani membuat langkah pertama kerana masa depan kita bergantung sepenuhnya dengan diri kita. – TVS