BUKIT MERTAJAM, 21 Mei: Satu sindiket pengedaran dadah jenis serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) tumpas selepas polis memberkas enam lelaki bersama sejumlah dadah bernilai RM6.3 juta menerusi serbuan di sekitar George Town selama dua hari bermula semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, suspek berusia 33 hingga 41 tahun itu ditahan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang bermula pukul 2 petang semalam sehingga 4.30 pagi hari ini.
Menurutnya, serbuan bermula dengan penahanan suspek pertama di kawasan tempat letak kereta dan menjumpai dadah MDMA di dalam sebuah kereta yang dijadikan tempat penyimpanan.
“Antara yang dirampas adalah dua beg kain mengandungi 532 paket plastik berwarna ungu dan keemasan berisi serbuk MDMA seberat 18.4 gram (g).
“Turut disita, lima kotak kertas mengandungi 777 paket plastik pelbagai warna berisi serbuk MDMA seberat hampir 19.4 g bersama sejumlah beg kertas dan plastik bungkusan pengeposan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di sini hari ini.
Sementara itu, Hamzah berkata, susulan tangkapan pertama, lima lagi suspek diberkas di sekitar kawasan bandar raya itu yang dipercayai turut terlibat sebagai ahli sindiket.
“Sindiket dipercayai aktif sejak awal tahun ini dengan pasaran di pusat-pusat hiburan di sekitar negeri ini dan negeri lain.
“Ujian saringan air kencing mendapati, seorang suspek positif dadah jenis benzo dan empat lagi positif ketamin.
“Seorang suspek memiliki 16 kes jenayah lampau berkaitan kes curi dan empat daripadanya turut mempunyai rekod kesalahan jenayah dan dadah,” katanya lagi.
Menurut beliau, polis menyita tujuh buah kereta bernilai RM297,000, barang kemas bernilai RM1,500 dan wang tunai RM2,550 bagi siasatan lanjut.
Katanya, kesemua suspek yang menganggur telah direman selama seminggu bermula hari ini bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – TVS