KLUANG, 21 Mei: Gas Malaysia Berhad menerusi anak syarikatnya, Gas Malaysia Green Ventures Sdn. Bhd. (GMGV), melancarkan Stesen Suntikan Biometana Berpusat pertama di negara ini, selaras dengan aspirasi negara ke arah ekonomi rendah karbon.
Pengerusinya, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata inisiatif itu menyokong Dasar Tenaga Negara (NEP) 2022–2040 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dalam usaha mencapai sasaran neutral karbon.
“Pelancaran ini adalah pencapaian penting dalam Strategi GM32 kami yang menumpukan kepada tenaga bersih dan penyelesaian mampan,” katanya pada majlis pelancaran di sini pada Rabu.
Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Stesen itu dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang separuh kedua 2025, dengan menyuntik biometana yang diperoleh daripada kilang kelapa sawit ke dalam rangkaian gas asli negara.
Projek ini juga menyokong Pelan Tindakan Biojisim Negara 2023–2030 dengan mengoptimumkan sisa sawit untuk menghasilkan gas boleh diperbaharui, sekali gus memperkukuh ekonomi kitaran dan menambah nilai kepada sektor perladangan.
Gas Malaysia menjangkakan manfaat termasuk penghasilan gas hijau bertaraf antarabangsa melalui pensijilan ISCC dan membantu pelanggan industri mencapai sasaran kelestarian.
“Kami menghargai sokongan kerajaan, khususnya Kementerian Perladangan dan Komoditi, MPOB dan MIDA yang memperkukuh pembangunan tenaga boleh diperbaharui,” katanya.
Majlis turut menyaksikan pengiktirafan Malaysian Book of Records, penyerahan perjanjian pembiayaan bersama AmBank serta Memorandum Kolaborasi dengan syarikat teknologi hijau Evonik.