KUCHING, 21 Mei: Penyaluran Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) melalui e-dompet merupakan usaha Kerajaan Sarawak dalam mendukung inisiatif ekonomi digital seperti yang terkandung dalam Pelan Induk Ekonomi Digital Sarawak 2030.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata peralihan kepada teknologi digital akan memacu ekonomi Sarawak agar lebih berdaya saing di peringkat global berasaskan penggunaan data dan inovasi.
“Dengan membangunkan ekosistem digital seperti penyaluran bantuan SKAS melalui e-dompet, Sarawak berpotensi muncul sebagai peneraju pembangunan teknologi di rantau ini.
“Ini seterusnya akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat dan berpendapatan tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine mengenai jumlah sebenar penerima SKAS setakat ini.
Untuk rekod, jumlah yang layak menerima SKAS berdasarkan sumber data daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri ialah 886,288 orang.
Daripada jumlah itu, 410,529 penerima bagi kategori isi rumah, 361,295 penerima kategori bujang dan kategori warga emas seramai 114,464 penerima.
Sehingga 13 Mei 2025, seramai 758,483 orang atau 85 peratus daripada jumlah keseluruhan yang layak menerima SKAS telah mendapat bantuan melalui e-dompet S Pay Global.
Bagi kategori isi rumah, seramai 410,529 penerima menerima SKAS bernilai RM800 melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM328.4 juta manakala kategori bujang pula, seramai 361,295 penerima menerima bantuan sebanyak RM250 dengan implikasi kewangan berjumlah RM90.3 juta.
Sementara itu, kategori warga emas melibatkan 114,464 penerima dengan nilai bantuan sebanyak RM450 dan implikasi kewangan sebanyak RM45.8 juta.
Jumlah keseluruhan bantuan yang disalurkan kepada penerima adalah sebanyak RM464.5 juta. -TVS