KUCHING, 21 Mei: Syarikat penerbangan milik Sarawak, AirBorneo akan terus beroperasi di bawah Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) dan Sijil Pengendali Udara (AOC) yang dimiliki oleh MASwings.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Dr Jerip Susil berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh berkaitan perkara kawal selia syarikat penerbangan itu pada Persidangan Hari Ketiga Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-19 hari ini.
Menurut Jerip, dalam proses pengambilalihan bagi struktur syarikat penerbangan tersebut memperuntukkan kelulusan rasmi daripada pihak berkuasa yang berkaitan.
“Pihak yang terlibat termasuk Kementerian Pengangkutan Malaysia, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), dan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA),” katanya.
Jerip turut mendedahkan pihaknya bersama AirBorneo akan bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan Malaysia bagi mengemas kini perjanjian Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) yang bakal tamat hujung tahun ini.
Jelasnya RAS sedia ada antara Kerajaan Persekutuan dan MASwings Sdn. Bhd. telah ditandatangani pada 19 Disember 2024 untuk tempoh 12 bulan dan ditetapkan untuk tamat tempoh pada 31 Disember 2025.
“Kementerian saya bersama AirBorneo sedang melibatkan diri dengan Kementerian Pengangkutan Malaysia, agensi persekutuan yang berkaitan dan pihak berkepentingan utama lain untuk menyelesaikan terma dan syarat perjanjian RAS baharu,” ujarnya.
Usaha itu menurutnya bagi memastikan sambungan udara yang berterusan dan tidak terganggu kepada masyarakat luar bandar dan terpencil di Sarawak dan Sabah.-TVS