JAKARTA, 20 Mei: Tourism Malaysia di Jakarta dengan kerjasama Pullman Jakarta Indonesia menganjurkan promosi diplomasi makanan bertajuk “Senandung Selera – Taste of Malaysia”, berlangsung selama seminggu dari 19 hingga 25 Mei 2025 di restoran pemenang anugerah, Sana Sini.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026) yang bertujuan memperkenalkan cita rasa asli dan warisan kulinari Malaysia melalui hidangan istimewa oleh dua chef terkemuka negara, Chef Nick Chong dan Chef Haslan.
Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin, berkata kolaborasi ini bukan sekadar menampilkan keunikan kulinari, malah menjadi jambatan budaya antara dua negara jiran.
“Program seperti ini memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Indonesia melalui budaya dan makanan kerana bukan sahaja memperkenalkan kekayaan kulinari Malaysia, tetapi juga memberi ruang kepada rakyat kedua-dua negara mengenali warisan masing-masing,” katanya.
Beliau menambah, makanan mampu menyatukan sejarah, nilai hospitaliti dan hubungan serantau secara lebih erat.
Promosi ini juga menyokong kempen VM2026 yang bertemakan “Surreal Experiences”, selain mengukuhkan imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama dunia.
Sepanjang tempoh promosi, pengunjung akan disajikan bufet khas menampilkan hidangan ikonik Malaysia seperti nasi lemak, rendang tok, kari ayam, sup tulang rawan dan lamb tikka masala.
Turut hadir pada majlis pelancaran ialah Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN, Sarah Al Bakri Devadason; Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Jakarta, Siti Hajar Mohad Yunus; dan Pengurus Besar Pullman Jakarta Indonesia, Dan Benzaquen.