KUCHING, 20 Mei: Kerajaan Sarawak membentangkan Rang Undang-Undang Kanun Tanah (Pindaan) 2025 yang melibatkan pindaan kepada 24 seksyen serta penambahan tiga seksyen baharu, bagi memperkukuh sistem pengurusan dan pentadbiran tanah negeri.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pindaan ini merangkumi bidang penting seperti pentadbiran tanah, tafsiran undang-undang, mekanisme penguatkuasaan serta transformasi digital.
RUU ini terbahagi kepada empat kategori utama iaitu penambahbaikan fungsi, prosedur dan proses kerja, kemas kini definisi dan dasar, pengukuhan langkah penguatkuasaan dan pematuhan serta integrasi teknologi digital dalam urus tadbir tanah.
“Pindaan ini bertujuan menambah baik kecekapan operasi, menyeragamkan proses, dan menyokong inisiatif penyampaian perkhidmatan digital selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) serta Pelan Induk Ekonomi Digital Sarawak 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan RUU Kanun Tanah (Pindaan) 2025 semasa Mesyuarat Pertama Penggal Keempat DUN Sarawak Ke-19 di sini pada Selasa.
Menurutnya RUU ini juga memperkenalkan mekanisme penguatkuasaan yang lebih teguh bagi menangani isu pencerobohan dan pemilikan tanah secara haram dengan lebih berkesan.
Awang Tengah menegaskan bahawa pindaan ini penting dan relevan dalam konteks pembangunan sosioekonomi Sarawak yang pesat.
Katanya, ia turut memastikan sistem pentadbiran tanah yang telus, responsif dan berorientasikan perkhidmatan rakyat. -TVS