KUCHING, 20 Mei: Impian untuk mewujudkan sebuah hospital di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) kini dalam peringkat kajian awal dan perbincangan menyeluruh.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya telah mengarahkan satu kajian permulaan dilaksanakan bagi menilai potensi penubuhan hospital berkenaan, susulan kejayaan rangkaian perkhidmatan kesihatan MARA yang sedia ada.
Ketika ini, MARA memiliki 140 cawangan U.n.i di seluruh negara, terdiri daripada 98 U.n.i Klinik, 23 U.n.i Dental dan 16 U.n.i Pharmacy.
“Dengan jumlah ini, kita sudah ada satu ekosistem perniagaan kesihatan yang saling melengkapi dan mampu dikembangkan ke tahap lebih tinggi seperti penubuhan hospital.
“Kita juga telah mula merangka langkah awal seperti pembekalan ubat-ubatan menerusi MARA Corporation, dan saya kira sudah tiba masa untuk satu kajian terperinci dan holistik dijalankan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan pembukaan U.n.i Klinik Metrocity di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Asyraf berkata, MARA turut bekerjasama dengan kerajaan negeri Sarawak untuk memperkasa pembangunan usahawan, selaras dengan aspirasi dan halatuju negeri ini.
Menurutnya, jumlah pembiayaan MARA di Sarawak telah ditingkatkan kepada RM33 juta, termasuk untuk program khas pembangunan usahawan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui seperti solar.
“Kita menawarkan kerjasama untuk merangka pelan induk antara MARA dan kerajaan negeri bagi memperkukuh ekosistem keusahawanan di Bumi Kenyalang, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat Sarawak,” katanya.