Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pelbagai jenis dadah dirampas semasa serbuan di pusat hiburan di Lorong Langsat, Sibu dan suspek (gambar) direman selama enam hari bagi membantu siasatan. Foto IPD Sibu

Lelaki ditahan, dadah RM30,000 dirampas dalam serbuan di pusat hiburan

SIBU, 20 Mei: Seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di Lorong Langsat di sini awal pagi semalam, selepas disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah dengan rampasan pelbagai jenis dadah dalam operasi itu dianggarkan bernilai lebih RM30,000.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkifli Suhaili berkata, serbuan sekitar jam 1.45 pagi itu dijalankan oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Sibu.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek, polis menemui 54 paket plastik kecil mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis ketamin seberat 58.04 gram, sembilan papan kerajang timah berisi 84 biji pil erimin 5, dan 13 paket plastik lutsinar mengandungi pil pelbagai warna disyaki ekstasi dengan anggaran berat kasar 170.88 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkifli berkata, ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan ketamine.

“Semakan lanjut juga mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah, suspek kini ditahan reman selama enam hari untuk membantu siasatan lanjut,” ujarnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

“Suspek juga boleh dikenakan pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(a) akta yang sama kerana penggunaan dadah, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali. Selain itu, pengawasan selama dua tahun di bawah Seksyen 38B turut boleh dikenakan.

“Polis akan terus memantau pusat hiburan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam penyalahgunaan serta pengedaran dadah,” tegasnya.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan