KUCHING, 20 Mei: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) terus komited dalam menjaga kebajikan anak seni, khususnya penggiat industri kreatif di Sarawak menerusi pelaksanaan program Ziarah Madani FINAS 2025.
Pengerusinya, Datuk Hans Isaac berkata, program berkenaan merupakan salah satu inisiatif jangka pendek FINAS bagi membantu penggiat seni yang kurang bernasib baik atau berdepan kesulitan hidup.
“Ziarah Madani ini adalah satu usaha murni yang sangat baik, namun ia hanya langkah jangka pendek. Kita perlu fikirkan penyelesaian jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada lapan penggiat seni Sarawak dalam program Ziarah Madani FINAS 2025 yang diadakan di sini, hari ini.
Katanya, inilah peranan penting agensi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam menjamin kebajikan jangka panjang penggiat industri seni.
FINAS akan terus melaksanakan pelbagai program kebajikan yang menyasarkan golongan seni agar keperluan dan kesejahteraan mereka sentiasa terpelihara.
Dalam program berkenaan, lapan penggiat seni tempatan menerima bantuan berupa barangan keperluan asas dan wang tunai sebagai simbol keprihatinan FINAS terhadap nasib dan kesejahteraan warga seni.