LANGKAWI, 20 Mei: Aksi pembukaan yang memukau daripada pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membuka tirai Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) yang bermula hari ini sehingga 24 Mei.
Dalam acara pembukaan itu, sebanyak 25 pesawat dipersembahkan juruterbang TUDM bersama jet-jet pejuang termasuk Sukhoi Su-30MKM dan F/A-18D Hornet.
Turut terlibat pesawat pengangkut jenis A400M dan C-130 Hercules serta helikopter EC-725, AW-139 dan EC120B.
Pembukaan pameran berprestij itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Penganjuran LIMA’25 bagi edisi ke-17 menghimpunkan sebanyak 57 pesawat udara yang terlibat untuk pameran, dengan 43 aset udara statik dari dalam dan luar negara.
Bagi segmen maritim pula, sebanyak 31 kapal dari dalam dan luar negara terlibat dalam pameran statik dan perbarisan armada.
LIMA’25 anjuran bersama Kementerian Pertahanan dan Global Exhibitions and Conferences Sdn Bhd (GEC), bertemakan ‘Inovasi Hari Ini, Pencapaian Masa Hadapan’, menekankan aspek inovasi serta daya saing dalam kalangan pemain industri maritim dan aeroangkasa. – TVS