KUCHING, 20 Mei: Empat cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Sultan Tengah di sini, awal pagi tadi.
Komander Operasi, Ibrahim Hasan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 6.21 pagi dengan menggerakkan lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian didapati kemalangan membabitkan sebuah kereta Perodua Myvi yang dinaiki oleh empat orang mangsa terdiri daripada seorang lelaki dewasa, dua orang kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki dengan kereta Perodua Alza.
“Bagaimanapun, pemandu Perodua Alza seorang wanita tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kesemua mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi dan pihak bomba membuat pemeriksaan keselamatan.
“Tiada tindakan penyelamatan atau operasi lanjut dijalankan oleh pihak bomba, setelah mendapatkan maklumat kejadian dan memastikan keadaan di lokasi berada dalam keadaan selamat, pasukan bomba bertolak balik ke balai,” ujarnya.-TVS