Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook. Foto fail TVS

Nahas FRU: Pasukan petugas khas diberi tempoh 30 hari kemuka laporan awal – Loke

ByBernama

PUTRAJAYA, 19 Mei: Pasukan petugas khas yang ditubuhkan bagi menyiasat kemalangan maut melibatkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Perak diberi tempoh 30 hari bermula 15 Mei untuk mengemukakan laporan siasatan awal kepada Kementerian Pengangkutan (MOT).

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata pasukan berkenaan dianggotai pakar serta wakil agensi utama berkaitan dengan Ketua Inspektor Kemalangan Udara MOT Brig Jen Tan Chee Kee sebagai pengerusi.

Beliau berkata turut menganggotai pasukan petugas khas itu ialah Ahli Parlimen Simpang Renggam Datuk Seri Hasni Mohammad dan Ahli Parlimen Jerantut Khairil Nizam Khirudin.

“Ahli lain Prof Dr Kulanthayan K.C. Mani @ Subramaniam dari Universiti Putra Malaysia (UPM), pakar jurutera bebas Datuk Foong Choy Chye dan wakil Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pasukan berkenaan mula menjalankan siasatan minggu lepas dan MOT memandang serius insiden kemalangan tragik yang berlaku pada 13 Mei.

“MOT akan memastikan bahawa setiap syor dan dapatan yang dikemukakan akan diteliti secara menyeluruh untuk tindakan susulan di peringkat dasar dan operasi,” katanya.

Loke berkata pasukan berkenaan ditubuhkan dengan objektif untuk menjalankan siasatan terperinci terhadap punca kejadian, termasuk mengenal pasti sebarang kelemahan sistemik dari aspek keselamatan jalan raya.

Beliau berkata pasukan petugas khas itu perlu menganalisis keberkesanan penguatkuasaan sedia ada serta peraturan dalam industri pengangkutan.

“Mereka juga perlu menilai semula garis panduan, infrastruktur, dan penggunaan teknologi keselamatan bagi mencegah kejadian serupa berulang pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata fokus utama siasatan bukan untuk menuding jari kepada mana-mana pihak sebaliknya bagi mengenal pasti kelemahan sistem sedia ada, sekali gus mencadangkan langkah penambahbaikan secara sistematik dan berkesan demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya khususnya melibatkan kenderaan berat.

Sembilan anggota FRU dari Unit 5 Ipoh maut dalam nahas di Jalan Chikus-Sungai Lampam pada 8.50 pagi, semasa konvoi pasukan itu dalam perjalanan pulang selepas bertugas sempena sambutan Chitirai Pournami di Teluk Intan.

Lapan maut di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan