SARATOK, 19 Mei: Nasib 47 mangsa tragedi kebakaran Rumah Panjang Litong, Nanga Kesit di Lubok Antu pada pagi Isnin mula mendapat perhatian pelbagai pihak.
Kejadian yang berlaku pada jam 10.03 pagi itu telah menyebabkan 15 pintu rumah panjang berkenaan musnah sepenuhnya dan mengakibatkan penghuni tinggal sehelai sepinggang.
Prihatin dengan nasib yang menimpa mangsa, Kelab Beliawanis Betong dengan kerjasama Kelab Belia 1828 Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Layar, Kelab Belia Perkasa Layar dan Betong Excess melancarkan Misi Bantuan Kebakaran Rumah Panjang Litong, Nanga Kesit, Lubok Antu hari ini.
Setiausaha Jawatankuasa Penganjur merangkap Penolong Setiausaha Kelab Beliawanis Betong, Cecelia Tini Ajah berkata, pelancaran misi tersebut bertujuan menyediakan platform kepada masyarakat di Betong untuk menyalurkan bantuan dan mengurangkan beban mangsa.
“Penubuhan ini kita lancarkan sebagai salah satu platform untuk masyarakat di Betong khususnya yang ingin menyalurkan bantuan untuk meringankan beban mangsa kebakaran di Rumah Panjang Litong, Nanga Kesit.
“Dalam masa sama, ia juga bagi memupuk semangat dan sikap keprihatinan dalam kalangan masyarakat khasnya golongan belia di Betong terhadap mereka yang memerlukan,” katanya menerusi kenyataan kepada TVS hari ini.
Menurutnya, orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan fizikal boleh berbuat demikian di Pusat Khidmat N.36 Layar bermula 20 hingga 23 Mei dari pukul 9 pagi hingga 5 petang.
Tambahnya, bantuan dalam bentuk kewangan juga amat dialu-alukan menerusi akaun Agrobank 1007591000020908 atas nama Kelab Beliawanis Betong.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Shazilla (014-580 2806) dan Maxwell (011-5965 7579), manakala resit pembayaran bantuan tunai boleh dihantar kepada Florina (011-3122 7698) dan Lyourazo (013-577 5956). -TVS