LANGKAWI, 19 Mei: Malaysia terus memperkukuh keupayaan pertahanan daratnya apabila akan melancarkan kenderaan perisai 4×4 buatan tempatan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia sekali gus menjadi simbol penting kepada aspirasi negara untuk mencapai kebebasan dalam industri pertahanan.
“Salah satu usaha yang sangat signifikan dalam edisi LIMA kali ini adalah pelancaran baharu kenderaan perisai 4×4 yang dibina sepenuhnya dalam negara.
“Kenderaan ini dibangunkan dengan lebih 50 peratus komponen tempatan, yang menandakan pencapaian penting dalam industri pertahanan nasional,” katanya.
Khaled Nordin berkata demikian dalam satu sidang media selepas meninjau persiapan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) di sini, hari ini.
Sehubungan itu Khaled Nordin memberitahu, beberapa memorandum persefahaman (MoU) turut akan dimeterai bagi menyokong usaha ini.
Antara inisiatif utama yang terkandung dalam MoU itu nanti termasuk pembangunan satelit pertahanan, penerokaan teknologi kecerdasan buatan dalam bidang pertahanan, serta penubuhan Pusat Kecemerlangan Penerbangan negara.
“LIMA bukan sekadar sebuah platform untuk memasarkan aset pertahanan, tetapi juga sebagai medan penting untuk memperkukuh keupayaan industri pertahanan tempatan,” ujarnya. – TVS