KUALA LUMPUR, 19 Mei: Malaysia menjadi negara pertama di luar China yang melaksanakan penggunaan model bahasa besar (Large Language Model, LLM) sumber terbuka, DeepSeek pada skala nasional.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, langkah itu sebagai satu pencapaian besar dalam usaha negara memperkukuh kedaulatan kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan data.
“Ini merupakan satu inisiatif yang baik kerana kini kita dapat membawa server ke Malaysia dan juga menggunakan DeepSeek sebagai LLM yang untuk kegunaan di Malaysia.
“Ini adalah yang pertama seumpamanya di luar China dan kami sangat berbangga, ia membuktikan bahawa Malaysia benar-benar berada di hadapan dalam kalangan negara ASEAN dari segi penggunaan AI,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Malaysia’s Strategic AI Infrastructure, di Kuala Lumpur, pada Isnin.
Menurutnya, pelaksanaan DeepSeek yang dihoskan sepenuhnya di Malaysia membuktikan keupayaan negara untuk menyediakan aplikasi AI setempat sekali gus menjamin pemprosesan data dilakukan dalam sempadan undang-undang dan digital negara.
“Semua data akan diproses di Malaysia, menjadikan inisiatif ini sebagai satu bentuk kedaulatan AI untuk melindungi privasi data pengguna kerana dalam era AI ini data ialah emas baharu dan bagaimana kita menjaga keselamatan serta privasi data adalah amat penting,” ujarnya.
Mengulas lebih lanjut, beliau berkata, Malaysia juga melancarkan Trusted Data Zone yang menghubungkan Cyberjaya, Perlis Advance Tech Park dan Shanghai Lingang sebagai sebahagian daripada inisiatif itu.
Ini sekali gus menunjukkan komitmen Malaysia terhadap kerjasama antarabangsa dan mengekalkan keutamaan nasional dalam pembangunan teknologi.
“Projek ini mengiktiraf Malaysia sebagai rakan yang dipercayai dan mempunyai keupayaan teknikal yang luar biasa.
“Saya amat berbangga kerana kita telah berjaya laksanakan sesuatu yang belum pernah dilakukan di luar China,” jelasnya.
Dalam isu berkaitan, Teo turut menekankan kepentingan kesedaran awam terhadap privasi data terutama dalam usaha membendung aktiviti penipuan dalam talian.
“Sebab itulah kita mesti pastikan data sensitif kekal di Malaysia dan tidak dihantar ke luar sesuka hati. Pada masa sama, pendidikan kepada masyarakat juga amat penting.
“Rakyat perlu lebih berhati-hati dan tidak sewenangnya berkongsi maklumat peribadi,” katanya.-TVS