LUNDU, 19 Mei: Kanak-kanak di negara ini berhak untuk hidup dan membesar dalam keadaan yang selamat, sihat dan dilindungi oleh orang dewasa.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menyeru masyarakat agar lebih peka dan bertindak segera apabila melihat atau mengesyaki penderaan terhadap kanak-kanak.
“Kita tidak boleh tutup mata. Kini, pelbagai laporan yang tular berkenaan kanak-kanak yang dipukul, diabaikan bahkan dibunuh.
“Kanak-kanak perlu tahu bahawa mereka ada hak untuk hidup, untuk tidak disakiti dan untuk didengari. Tiada siapa yang berhak untuk mencederakan orang lain secara fizikal atau emosi, tidak kira siapa kita,” katanya ketika berucap di Majlis Peluncuran Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak Peringkat Sarawak 2025, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, katanya, Program Advokasi Perlindungan Kanak-kanak yang diperkenalkan oleh kementerian yang kini telah diperluaskan ke seluruh negara termasuk wilayah ini, sebagai platform mendidik anak-anak dan masyarakat mengenai hak perlindungan serta langkah pencegahan penderaan.
“Tahun ini, kita perluaskan program ini ke 30 buah Pusat Aktiviti Kanak-kanak (PAKK) di seluruh negara selepas kejayaan penganjuran program ini tahun lepas yang melibatkan lebih 5,500 murid dari 25 sekolah di Sarawak,” tambah beliau.
PAKK bukan sahaja membuktikan komitmen berterusan kerajaan untuk membawa mesej perlindungan ke akar umbi tetapi juga menyediakan ruang aktiviti yang selamat dan positif untuk kanak-kanak bagi mengurangkan risiko mereka terdedah dengan persekitaran yang memudaratkan.
Beliau turut menyeru agar lebih banyak pusat seperti PAKK, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) ditubuhkan bagi memastikan tiada kanak-kanak yang tertinggal dari mendapat perlindungan dan sokongan sosial yang sepatutnya.
Nancy juga mengingatkan orang ramai agar menggunakan saluran rasmi seperti Talian Kasih,15999 atau WhatsApp, 019-2615999 untuk membuat aduan berkaitan kes penderaan dan pengabaian.
“Lebih awal laporan dibuat, lebih cepat bantuan boleh disalurkan. Jangan tunggu tragedi berlaku baru hendak bertindak,” katanya. – TVS