BAU, 18 Mei: Di sebalik kemeriahan Pesta Tasik Biru 2025, terselit deretan jong mini tersergam indah yang mencuri tumpuan pengunjung.
Memetik laporan Suara Sarawak, badan jong dihias dengan ukiran halus manakala dalamannya menyerupai kabin sebenar lengkap dengan dek, tangga dan anak kapal mini yang bukan sahaja menambah nilai estetika malah menyerlahkan kehalusan pertukangan tempatan.
Jong atau perahu layar mini dengan reka bentuk perahu Cina sememangnya tidak asing lagi dengan komuniti di Bau.
Tradisi tersebut dikatakan bermula sejak era penjajahan British apabila pelombong emas dari China menggunakan perahu layar untuk menelusuri sungai Borneo pada abad ke-18.
Hari ini ia terus dilestarikan sebagai sebahagian daripada warisan tempatan di Sarawak.
Badan jong berwarna putih gading dengan jalur emas dan coklat gelap digandingkan dengan layar hitam bertingkat merupakan ciptaan Leman Jili, 70, dari Kampung Pangkalan Bau yang bangga mempersembahkan hasil seninya dalam Pertandingan Jong Cantik tersebut.
“Segala aspek jong ini saya hasilkan sendiri dari rekaan badan, ukiran, pemasangan layar hingga ke hiasan dalaman,” katanya.
Penyertaannya dalam pertandingan jong bukanlah sesuatu yang baharu kerana beliau sudah biasa menyertai pertandingan jong cantik dan jong lumba.
Dalam kategori lumba, beliau juga mencatat kejayaan membanggakan dalam pertandingan semalam.
“Saya mempertaruhkan enam jong dan berjaya merangkul tempat pertama bagi empat jong,” ujarnya.
Leman turut berkongsi beberapa tips menghasilkan jong yang laju dan stabil.
“Jong ini tidak menggunakan sebarang motor, semuanya bergantung kepada angin. Jadi rekaan kena betul-betul teliti dari segi simetri dan berat agar stabil dan tidak terbalik.
“Bahagian depan dan buritan jong itu mesti seimbang untuk melancarkan pergerakan.
“Layar pula jangan terlalu ketat atau terlalu kendur, kena betul pemasangannya supaya angin tidak terkumpul pada layar. Barulah jong itu laju pergerakkanya.
“Jong juga tidak boleh menggunakan kayu keras. Kena ambil kayu ringan,” jelasnya.
Pertandingan Jong Cantik dan Jong Lumba sempena Pesta Tasik Biru 2025 bukan sekadar ruang untuk bersaing tetapi pentas mengekalkan warisan, merayakan kreativiti serta menyemarakkan kembali seni pertukangan tempatan dalam jiwa generasi baharu.-TVS