KUALA LUMPUR, 18 Mei: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menetapkan sasaran kemasukan seramai 500 anak Orang Asli ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tahun ini.
Timbalan menterinya, Datuk Rubiah Wang berkata, pada tahun lalu, lebih 400 orang berjaya menempatkan diri ke IPT.
Menurutnya, KKDW dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan terus memainkan peranan dalam memberikan pendedahan serta peluang kepada masyarakat Orang Asli khususnya dalam bidang pendidikan.
“Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini adalah satu sejarah bagi Orang Asli apabila salah seorang pelajar, Nur Syakilah dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panggung Jaya di Gua Musang memperoleh 8A.
“Lebih 100 pelajar juga mendapat 5A ke atas dan ini merupakan satu pencapaian yang sangat baik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada perasmian Majlis Anugerah Mahasiswa Inspirasi (AMI) Jabatan Kemajuan Orang Asli 2025, di sini hari ini.
Rubiah menjelaskan, JAKOA akan terus komited menyediakan akses pendidikan lebih terangkum kepada komuniti Orang Asli termasuk dalam pemberian biasiswa, bantuan persekolahan dan latihan kerjaya.
“Usaha ini adalah untuk memastikan anak-anak Orang Asli tidak tercicir dan terus maju ke hadapan,” ujarnya.
Menurutnya, JAKOA juga akan bekerjasama dengan agensi di bawah KKDW seperti Majlis Amanah Rakyat dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dalam merealisasikan usaha tersebut.-TVS